Translate

Wednesday, November 23, 2022

4 cawangan Bersatu Terengganu lumpuh

 

HULU TERENGGANU – Kurang 36 jam menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) esok, seramai 100 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Hulu Terengganu bertindak keluar daripada parti. 

Mereka yang diketuai bekas Setiausaha Bersatu Bahagian Hulu Terengganu, Zamani Mamat beralih menyokong calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rozi Mamat. 

Penghijrahan mereka melumpuhkan sekurang-kurangnya empat cawangan Bersatu di daerah ini. 

Zamani berkata, mereka akhirnya sedar hanya BN mampu menawarkan kestabilan kepada negara.

 “Penting untuk kita menangkan Datuk Rozi (calon BN) bagi memastikan Parlimen Hulu Terengganu menyumbang satu kerusi pembentukan kerajaan.

 “Lagi pun kami telah menilai kepimpinan Datuk Rosol (calon Perikatan Nasional) yang kini menerajui Bersatu Bahagian Hulu Terengganu,” katanya di sini semalam. 

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Bersatu Bahagian Hulu Terengganu, Alias Abdullah berkata, mereka lebih yakin kemampuan Rozi untuk berkhidmat di Parlimen Hulu Terengganu.

 “Rata-rata kami merupakan ahli UMNO sebelum mengikut Datuk Rosol memasuki Bersatu pada Disember 2018. “Baru kami sedar Bersatu tiada akar umbi yang kuat dan tidak sebaik UMNO dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat,” katanya

No comments:

Post a Comment