Translate

Saturday, November 12, 2022

Rokok seludup RM1.69 juta dirampas

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Helah sindiket mengambil kesempatan kesibukan pihak berkuasa menguruskan perjalanan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk menyeludup rokok menggunakan jalan laut gagal apabila berjaya dihidu Pasukan Gerakan Marin (PGM) di sini pada kelmarin.

Serbuan pada pukul 11.30 malam tersebut berjaya merampas 198 kotak mengandungi 9,900 karton rokok disyaki seludup yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM1.69 juta.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, sepasukan anggota PGM yang melakukan rondaan terserempak dengan sebuah lori mencurigakan di kawasan pemecah ombak di Pantai Air Tawar di sini.

“Beberapa lelaki dikesan memunggah barangan ke dalam lori berkenaan sebelum bertindak melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Pemeriksaan di dalam lori dan lokasi tersebut menjumpai 198 kotak mengambung rokok disyaki seludup,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sini hari ini.

Abdul Rozak berkata, rampasan rokok seludup yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran itu merupakan terbesar bagi daerah tersebut pada tahun ini.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment