Translate

Sunday, November 6, 2022

Sembilan sekawan panik dua jam terperangkap akibat kepala air

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Sembilan sekawan yang merupakan pelajar Universiti Teknologi Mara (UITM) Dungun panik apabila mereka terperangkap hampir dua jam akibat fenomena kepala air di Lata Ulu Kekabu, Permaisuri di sini hari ini.

Mereka yang berumur dalam lingkungan 24 dan 25 tahun berjaya diselamatkan dengan bantuan pasukan keselamatan pada pukul 7 malam.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, sebelum kejadian, sembilan lelaki terbabit telah memasuki kawasan lata berkenaan untuk beriadah.

“Mereka sampai di Lata Ulu Kekabu pada pukul 2 petang sebelum kawasan perkelahan terbabit telah dilimpahi air deras akibat fenomena kepala air pada pukul 5 petang.

“Keadaan itu menyebabkan kesemua mangsa terperangkap tidak dapat keluar dari kawasan lata terbabit sebelum salah seorang daripada mereka menghubungi pihak berkuasa untuk meminta bantuan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Afandi berkata, sepasukan anggota polis dan bomba tiba di lokasi kejadian pada pukul 5.30 petang.

Tambah beliau, kerja-kerja menyelamatkan sembilan pelajar itu mengambil masa kira-kira satu setengah jam.

“Pemeriksaan mendapati mereka tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi dinasihatkan melakukan pemeriksaan di hospital berhampiran,” katanya.

Kosmo! 3 September lalu melaporkan lebih 50 pengunjung yang sedang berkelah di Lata Ulu Kasar di sini cemas apabila mereka terperangkap selama lebih tiga jam dalam kejadian kepala air di kawasan perkelahan tersebut. – KOSMO! ONLINE


No comments:

Post a Comment