Translate

Thursday, November 24, 2022

PRU15: BN tidak perlu sertai kerajaan, kekal pembangkang

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kepimpinan Barisan Nasional (BN) disaran agar kekal sebagai pembangkang dan tidak menyertai mana-mana gabungan bagi membentuk kerajaan campuran pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha UMNO bahagian Setiu, Mohd. Iskandar Jaafar berkata, ia merupakan suara sebahagian akar umbi parti berkenaan yang seramai kira-kira tiga juta.

Beliau berkata, pilihan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan campuran memiliki mudaratnya tersendiri terhadap BN.

“Gabungan dengan PH mungkin paling stabil bagi membentuk kerajaan tetapi jika disertai, UMNO perlu membayarnya pada harga yang mahal.

“Prinsip No Anwar, No DAP (Tidak Anwar dan DAP) adalah keputusan majoriti akar umbi (UMNO) yang tidak boleh dijual beli,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Iskandar berkata, penyertaan bersama PN juga tidak direstui kerana matlamat penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk membubarkan UMNO.

Beliau berkata, tidak mustahil sebahagian besar ahli UMNO bakal meninggalkan parti sebagai protes sekiranya membantu Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kembali menjadi Perdana Menteri.

“Sehubungan itu, pilihan terbaik BN ialah tidak menyertai kerajaan dan menjadi pembangkang yang baik.

“Hormati keputusan rakyat menolak BN dan terus berkhidmat menjadi mata dan telinga rakyat menegur kerajaan,” katanya.

Mohd. Iskandar berkata, walaupun kerajaan mungkin sukar dibentuk tanpa penyertaan BN namun itu urusan PH dan PN yang memiliki kerusi terbanyak di Dewan Rakyat.

“Sepatutnya PH dan PN yang bergabung membentuk kerajaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment