Translate

Tuesday, November 22, 2022

‘Jangan sampai nyawa kami melayang angkara lembu’

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Tindakan pemilik lembu membiarkan puluhan haiwan ternakan mereka berkeliaran mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya di sekitar Kampung Tok Jembal dan Teluk Ketapang di sini.

Keadaan itu menyebabkan ada antara pengguna jalan raya mendakwa hampir kemalangan apabila lembu berkenaan melintas secara tiba-tiba.

Seorang pengguna, Muhammad Imran Ghazali, 29, berkata, pemanduannya di laluan antara dua perkampungan yang terletak di pesisir pantai tersebut sering terganggu dengan kelibat lembu yang tiba-tiba melintas jalan.

“Kita kena selalu berhati-hati dan memperlahankan pemanduan apabila melalui kawasan tersebut kerana terlalu banyak lembu berkeliaran.

“Saya kesal sikap penternak haiwan berkenaan yang mementingkan diri sendiri dengan mengamal konsep lepas bebas sehingga membahayakan nyawa orang lain,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.


Muhammad Imran berkata, aliran trafik tinggi dicatatkan di laluan Kampung Tok Jembal dan Teluk Ketapang kerana laluan berkenaan merupakan antara jalan utama untuk ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini dan beberapa destinasi pelancongan di daerah ini.

Keluhan sama disuarakan Nur Maisarah Mohd. Shahir, 35, yang berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) lebih proaktif mengatasi isu ternakan berkeliaran.

“Dahulu sewaktu kerap berlaku kemalangan melibatkan haiwan ternakan berkeliaran, PBT melakukan penguatkuasaan menangkap lembu-lembu ini, namun kini dilihat sudah berkurangan.

“Janganlah tunggu kecelakaan dan kehilangan nyawa baru hendak aktifkan semula. Penguatkuasaan harus tegas bukanlah secara bermusim,” ujarnya.

Sementara itu, Nur Maisarah berkata, kerajaan negeri Terengganu juga harus merangka pendekatan efektif bagi memastikan penternak lebih beretika selain tidak menyusahkan mana-mana pihak.

No comments:

Post a Comment