Translate

Thursday, November 10, 2022

252 bekas pekerja Perwaja Steel tuntut pampasan RM9.4 juta

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Seramai 252 bekas pekerja Perwaja Steel Sdn. Bhd. (Perwaja Steel) menuntut hak mereka yang masih belum menerima pampasan pemberhentian kerja setelah lapan tahun syarikat itu menutup operasi.

Wakil bekas pekerja, Hamdan Khalid, 59, berkata, mereka merupakan baki pekerja yang tertinggal daripada menerima pampasan disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 24 April lalu.

“Syukur seramai 709 bekas rakan sekerja kami telah menerima pampasan masing-masing bulan Ramadan lalu.

“Sehubungan itu, kami menuntut juga hak kami sebagai pekerja yang tetap setia bersama Perwaja Steel sehingga di hari terakhir penutupannya pada November 2014,” katanya selepas mengetuai perhimpunan aman menuntut pampasan tersebut di hadapan bekas kilang Perwaja Steel di Teluk Kalong di sini hari ini.

Hamdan berkata, nilai keseluruhan pampasan yang dituntut melibatkan 252 bekas pekerja berpangkat eksekutif tersebut dianggarkan kira-kira RM9.4 juta.

Beliau yang jawatan terakhirnya di Perwaja Steel sebagai Pengurus Kanan Sumber Manusia berkata, pihak percaya pemegang amanah syarikat itu kini memiliki sumber kewangan mencukupi untuk melunaskan tuntutan mereka.

“Kami difahamkan hasil penjualan sebahagian aset-aset Perwaja Steel telah diterima. Sehubungan itu, kami telah melantik peguam untuk melicinkan proses pembayaran tuntutan pampasan tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment