Oleh MOHD AZLI ADLAN
MARANG – Kira-kira 25 premis termasuk kediaman penduduk dan premis perniagaan mengalami kerosakan akibat ribut di Kampung Undang di sini hari ini.
Kejadian ribut berserta puting beliung selama kira-kira 10 minit itu berlaku pada pukul 2.40 petang.
Seorang mangsa, Jamsari Mohamad, 16, berkata, ribut terbabit menyebabkan kesemua bumbung rumahnya rosak diterbangkan angin kencang.
“Sewaktu kejadian, saya berada di rumah bersama ibu, Minah Mat Ali, 69, sebelum mendengar bunyi angin kuat dari luar rumah.
“Tanpa fikir panjang, saya membawa ibu keluar untuk menyelamatkan diri. Kami sayu melihat satu persatu atap rumah tercabut,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Undang di sini hari ini.
Jamsari berkata, ini pertama kali rumah keluarganya yang didiaminya sejak hampir 40 tahun rosak dilanda ribut.
Seorang lagi mangsa, Rosmawati Mohd Saffi, 46, pula memberitahu, sebahagian barangan di kedai runcitnya rosak ditimpa hujan apabila atap bumbungnya diterbangkan angin.
“Sewaktu kejadian, kedai runcit dijaga anak perempuan, Norhanis Naziha Adnan, 18, bersendirian.
“Saya bergegas ke kedai runcit selepas dia menghubungi saya dengan menangis ketakutan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
No comments:
Post a Comment