Translate

Thursday, November 24, 2022

Pesawat kurang mendarat, pendapatan pemandu teksi terjejas

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Pendapatan yang tidak menentu walaupun negara sudah beralih ke fasa endemik meresahkan 55 pemandu teksi dan kereta sewa Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini.

Pengerusi Persatuan Pemandu-Pemandu Teksi dan Ke­reta Sewa Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Rustam Mokhtar berkata, rata-rata pendapatan bulanan mereka kini cuma RM800 sebulan.

“Walaupun fasa pandemik Covid-19 sudah berakhir, kadar pendaratan pesawat di lapangan terbang ini tidak ba­nyak berubah dengan hanya beroperasi pada waktu siang.

“Ini menyebabkan keba­nyakan kami hanya mendapat maksimum dua trip sehari yang ha­nya rata-ratanya pelancong yang mahu mengunjungi pulau pe­ranginan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Rustam berkata, pendapatan mereka dijangka terus merosot pada musim tengkujuh ini kerana kesemua pulau peranginan di Terengganu menutup operasinya.

Selain itu, katanya, pemandu teksi dan kereta sewa juga me­nerima persaingan daripada pengusaha e-hailing yang me­ngambil penumpang di lapa­ngan terbang secara haram.

“Mereka bijak melarikan diri­ apabila penguat kuasa JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) mem­buat pemeriksaan.

“Bukan untuk menyekat rezeki pemandu e-hailing, tetapi ikutlah peraturan. Kami juga hanya dibenarkan beroperasi di kawasan lapangan terbang,” katanya.

Rustam berkata, setakat ini hanya penyandang Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali yang bersimpati dengan menyumbang barang keperluan seperti beras dan minyak masak kepada ahli persatuannya setiap bulan sejak dua tahun lalu.

Sementara itu, Mohd. Khai­ruddin yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kuala­ Nerus berazam untuk terus membela nasib pemandu teksi dan kereta sewa Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

“Sekiranya saya terpilih lagi menjadi Ahli Parlimen Kuala Nerus, saya akan memperjuangkan bantuan bulanan kepada golongan tersebut.

“Mereka umpama nelayan dan penoreh getah yang me­nerima bantuan kerajaan, malah pendapatan golongan ini terjejas sepanjang tahun bukan hanya di musim tengkujuh,” katanya.

No comments:

Post a Comment