PASUKAN berstatus kelab, T-Team bertekad untuk menumbangkan Pahang pada aksi terakhir Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.
Pengendali The Titans, Rahmad Darmawan berkata, biarpun mengakui ia merupakan misi sukar, skuad kendaliannya enggan berputih mata melepaskan sisa-sisa peluang untuk mengesahkan satu lagi slot mengiringi kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.
“Ruang sekecil mana pun tidak harus dilepaskan kerana kita masih berpeluang untuk melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia.
“Saya telah mengatur taktikal ampuh untuk memerangkap Pahang di laman sendiri malam esok (hari ini),” katanya kepada Kosmo! semalam.
Rahmad berkata, kemenangan tersebut amat penting bukan sahaja untuk melangkah ke suku akhir Piala Malaysia malah meningkatkan kembali moral anak-anak buahnya untuk menghadapi baki empat perlawanan Liga Super.
Pengendali berpengalaman dari Indonesia itu mengakui motivasi para pemain sedikit jatuh selepas tewas berturut-turut dengan jaringan besar sepanjang kempen Liga Super dan Piala Malaysia pada Julai lalu.
“Cuti panjang pada Ogos sempena penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 telah digunakan untuk membaiki semua kelemahan tersebut.
“Saya juga lihat motivasi pemain sudah pulih dan mereka kini berkobar-kobar untuk memberikan aksi terbaik dalam baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia yang masih tinggal,” katanya.
Pahang yang mengutip enam mata, manakala T-Team dan Negeri Sembilan masing-masing memiliki lima mata masih berpeluang untuk mengiringi pendahulu kumpulan, PKNP FC ke suku akhir Piala Malaysia dengan syarat wajib menang pada aksi malam ini.
No comments:
Post a Comment