Translate

Sunday, September 24, 2017

Siap sedia hadapi bencana banjir

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menjangkakan musim tengkujuh yang dikhuatiri menyebabkan banjir di Pantai Timur merangkumi Kelantan, Terengganu dan Pahang bakal bermula pada pertengahan November depan.

Ketua Pengarah Nadma, Datuk Abd. Rashid Harun berkata, berdasarkan data yang diberikan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), monsun Timur Laut yang membawa taburan hujan tinggi di kawasan berkenaan bakal bermula pada tempoh tersebut.

Beliau berkata, MET Malaysia juga memaklumkan perairan negara termasuk Pantai Timur akan dilanda fenomena air pasang besar untuk dalam tempoh tiga bulan bermula Oktober hingga Disember depan.

“Kita risau hujan lebat yang berlaku di pedalaman (negeri-negeri Pantai Timur) dalam kuantiti tinggi akan lambat mengalir keluar ke laut akibat fenomena air pasang besar itu sekali gus menyebabkan banjir.

“Sehubungan itu, kita telah membuat persiapan awal dengan memanggil kesemua agensi terlibat di negeri-negeri tersebut bermula dengan Terengganu untuk melakukan simulasi banjir,” katanya selepas merasmikan penutup Latihan Persediaan Menghadapi Bencana Banjir Monsun Timur Laut di Kem Batalion 9, Pasukan Gerakan Am di sini semalam.

Abd. Rashid berkata, latihan persediaan menghadapi bencana banjir terbabit melibatkan 100 wakil pelbagai agensi di peringkat daerah seperti pegawai daerah, ketua polis daerah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kerja Raya dan Pejabat Pendidikan Daerah.

“Latihan persediaan ini juga akan diadakan di negeri-negeri berpotensi bermula dengan Kelantan pada minggu depan,” katanya.

No comments:

Post a Comment