Translate

Sunday, September 3, 2017

Terengganu struktur semula GLC

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SETIU – Kerajaan negeri Terengganu berhasrat untuk melakukan penstrukturan semula terhadap agensi berkaitan kerajaan (GLC) bagi meningkatkan kecekapan dan menjimatkan kos pengurusan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, tiga sektor terlibat adalah perhotelan, perladangan dan penjagaan kesihatan.

“Kumpulan Terengganu Development Management Bhd. (TDM) akan kembali fokus kepada segmen perniagaan utamanya iaitu sektor perladangan manakala segmen penja­gaan kesihatan bakal dipisahkan.

“Sehubungan itu, empat hospital milik Kumpulan TDM sebelum ini iaitu Hospital Pakar Kuala Terengganu, Pusat Perubatan Kuantan, Pusat Perubatan Kelana Jaya dan Pusat Perubatan Taman Desa akan diuruskan oleh konsortium baharu yang bakal ditubuhkan tidak lama lagi,” katanya selepas merasmikan Akademi TDM di Sungai Tong dekat sini semalam.

Pada majlis itu, Ahmad Razif turut menyaksikan majlis pemeteraian memo­randum persefahaman antara TDM dengan lima institusi pengajian iaitu Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Terengganu, Institut Pengurusan Perladangan Antarabangsa, Kolej Universiti Agrosains Malaysia dan Institut Komoditi dan Perladangan Malaysia berhubung kerjasama strategik terhadap modul latihan dan pengajaran Akademi TDM.

Ahmad Razif berkata, bagi penstrukturan semula dalam sektor perladangan, tiga GLC yang terlibat aktif dalam penanaman kelapa sawit iaitu Kumpulan TDM, Golden Pharus Bhd. dan Ladang Rakyat Terengganu Sdn. Bhd. dicadangkan diletakkan di bawah satu pengurusan.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga mahu menggabungkan kesemua pengurusan pusat pe­ranginan milik kerajaan negeri iaitu Hotel Primula, Hotel Permai, Duyong Marina & Resort, Hotel Paya Bunga dan sebuah hotel yang sedang dalam pembinaan di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu di bawah satu konsortium yang baru ditubuhkan iaitu Terengganu Incorporated (TI) Hotel & Resort.

“Dengan senario ekonomi mencabar masa kini, kita percaya penstrukturan semula GLC negeri mengikut tiga sektor utama ini dapat menjadikan ia lebih tertumpu selain mampu mengoptimumkan modal insan dan menjimatkan kos pengurusan.

“Ia sebahagian daripada strategi kerajaan negeri untuk menjana lebih pendapatan daripada sumber alternatif, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap hasil petroleum semata-mata,” jelasnya.

Ahmad Razif memaklumkan, proses penggabungan GLC di bawah TI masih dalam peringkat awal dan perkembangannya akan dipantau secara rapi oleh beliau selaku Pengerusi TI.

No comments:

Post a Comment