KUALA TERENGGANU - Terengganu mengesahkan slot ke Liga Super musim depan selepas bergaya menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-0 pada aksi kedua terakhir Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.
Tiga mata berharga itu membolehkan skuad Penyu kukuh di tangga kedua liga dengan 47 mata sekali gus tidak mampu dikejar lagi Negeri Sembilan dan PKNP FC yang masing-masing berada pada posisi ketiga dan keempat.
Terengganu berada di hadapan menerusi pemain tengah, Mohd. Faiz Mohd. Nasir yang berjaya memanfaatkan hantaran lintang Tchetche Kipre pada minit ke-18.
Penjaga gol PDRM, Firman Zamri tewas buat kali kedua selepas tandukan penyerang sensasi skuad Penyu, Kipre menerjah gawang pada minit ke-35.
Seorang lagi penyerang import Terengganu, Issey Farran Nakajima meledak gol ketiga selepas bijak memanfaatkan hantaran lintang Mohd. Faiz pada minit ke-56.
Kejayaan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim kembali ke saingan Liga Super musim depan itu diraikan meriah oleh 5,200 penyokong tegar yang memenuhi stadium pada malam ini. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment