Translate

Thursday, September 14, 2017

Muhammad Nur Irfan terpilih pelajar perintis program Saintis Islam Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Lepasan Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu, Muhammad Nur Irfan Mohd. Zameri, 20, terpilih sebagai pelajar perintis program Saintis Islam Terengganu.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, Muhammad Nur Irfan yang merupakan seorang hafiz al-Quran menerima biasiswa Al-Watiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin berjumlah RM854,000 untuk membiayai pengajiannya di luar negara.
Beliau berkata, pelajar tersebut yang sebelum ini telah memperolehi keputusan cemerlang pada program persediaan A-Level di Kolej Yayasan UEM Lembah Beringin akan melanjutkan pelajaran dalam jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Aero Angkasa di Manchester University, Britain.
"Berdasarkan perancangan kita di bawah program Saintis Islam Terengganu, Muhammad Nur Irfan akan terus ditaja untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) sekiranya berjaya menamatkan pengajian peringkat sarjana muda itu dengan cemerlang.
"Beliau kemudiannya akan dihantar untuk menyambung pengajian dalam jurusan al-Quran di Universiti Madinah selama setahun sebelum ditawarkan sebagai Saintis di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu bagi menyumbang kepada negeri," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan wang pendahuluan pengajian kepada pelajar itu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Program Saintis Islam Terengganu diperkenalkan pada tahun 2015 dengan pengambilan pelajar anak Terengganu lepasan SPM 2014 yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM dan hafiz 30 juzuk Al-Quran serta lulus ujian kelayakan dalam program pencarian Saintis Islam Anjung Ilmu. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment