Translate

Monday, September 11, 2017

Pembalak haram makin ganas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN – Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar memandang serius insiden anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan dikasari termasuk diserang oleh pembalak haram yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ancaman daripada pembalak haram yang dipercayai didalangi sindiket itu amat serius sehingga mencederakan anggota Jabatan Perhutanan yang sedang melakukan kerja-kerja penguatkuasaan.

“Dalam tempoh tiga bulan ini, pegawai (Jabatan Perhutanan) kita yang menguatkuasakan undang-undang perhutanan berdepan tindakan ganas pembalak haram. Kes pertama, seorang daripada mereka ditembak walaupun tidak mendatangkan kecederaan parah.

“Kedua, ada pegawai ditahan di tengah jalan dan dikurung kerana pembalak haram mahu mengambil semula jentera dan kayu-kayu balak yang telah dirampas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Hutan Antarabangsa dan Hari Konservasi Hutan Paya Laut Peringkat Kebangsaan 2017 di Hutan Simpan Kuala Kemaman, Bakau Tinggi di sini semalam.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang juga Ahli Parlimen Kemaman.

Wan Junaidi berkata, kementeriannya sedang mengkaji penambahbaikan peruntukan undang-undang perhutanan sedia ada bagi melindungi keselamatan anggota penguatkuasaan agensi tersebut sewaktu menjalankan tugas.

Beliau berkata, menerusi undang-undang baharu itu, kerajaan mahu pembalak haram yang ditangkap ditahan sehingga kes mereka dibicarakan di mahkamah.
 
“Kita mahu mereka ditahan dalam lokap sehingga hari perbicaraan. Jika dilepaskan, kita bimbang mereka akan mengancam nyawa pegawai kita.  
“Jika mereka orang luar, ada kemungkinan pembalak haram itu akan pulang ke negara asal,” katanya.

Kosmo! 20 Mac lalu melaporkan, seorang anggota Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu dan seorang mekanik nyaris maut selepas diserang hendap oleh sekumpulan sindiket pembalak haram yang melepaskan tembakan ketika pasukan penguat kuasa menjalankan operasi di Hutan Simpan Bukit Bauk, Dungun.

Sindiket pembalak haram itu melepaskan tiga das tembakan menggunakan senapang ke arah 10 anggota penguat kuasa sehingga menyebabkan seorang mekanik cedera pada pinggang.

No comments:

Post a Comment