Translate

Thursday, September 28, 2017

JSJ Bukit Aman fokus perangi jenayah sindiket perjudian, pelacuran

KUALA TERENGGANU – Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman akan memberi penekanan khusus untuk meme­rangi kegiatan kumpulan sindiket yang terlibat aktif melakukan kegiatan jenayah perjudian, pelacuran dan samseng di negara ini.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najimuddin Mohd.  (gambar) yang baru memegang jawatan itu pada pertengahan bulan ini berkata, ia selaras dengan amanat yang ditetapkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun baru-baru ini.

“Ketua Polis Negara (Mohamad Fuzi) telah menetapkan tindakan (undang-undang) harus diambil terhadap semua ketua sindiket termasuk melibatkan perjudian dan jenayah terancang. Saya telah diberi senarai nama-nama sindiket tersebut.

“Tindakan susulan akan diambil dengan membuka fail kes ke atas mereka dan menggunakan undang-undang pencegahan sedia ada seperti POCA (Akta Pencegahan Jenayah 1959) dan SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012),” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini semalam.

Wan Ahmad Najimuddin berkata, langkah-langkah bagi pelaksanaan operasi pembanterasan tersebut sedang disusun dan senarai penuh sindiket yang diburu akan didedahkan pada masa yang sesuai.

Dalam perkembangan lain, Wan Ahmad Najimuddin berkata, beliau turut mengarahkan JSJ Terengganu agar memberi fokus kepada tiga kes berprofil tinggi di negeri tersebut yang  belum berjaya diselesaikan.

Beliau berkata, kes-kes tersebut ialah pembunuhan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Limbat, Alias Abdullah dan sepupunya, Mat Jusoh Ali, 56, yang ditembak mati dalam dua kes di bandar raya ini pada Oktober 2015.

“Satu lagi kes ialah pembunuhan seorang tauke ikan, Daud @ Wan Ahmad Wang Nawang, 68, yang turut ditembak mati di Kampung Teluk Bayu, Kuala Besut pada Julai lalu,” katanya.

No comments:

Post a Comment