BESUT – Seorang tauke kedai runcit terpaksa menahan kesakitan hampir lima jam selepas dia diserang dan ditetak ala mafia oleh sekumpulan lelaki dipercayai bermotifkan hutang dadah di depan Klinik Sri Medang, Tembila dekat sini semalam.
Kejadian pada pukul 2.30 pagi itu terbongkar apabila mangsa yang berusia 31 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu kereta Honda Jazz.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata (gambar kecil), sebelum kejadian, mangsa dan anak lelakinya yang berusia tiga tahun dalam perjalanan pulang dari kedai runcitnya di Alor Lintang ke rumah mereka di Taman Desa Gong Badang dekat sini.
Katanya, di pertengahan jalan, mangsa sempat menghantar anaknya ke rumah adik iparnya di Kampung Padang Luas di sini yang terletak kira-kira 10 kilometer dari kedainya sebelum dia diserang.
“Ketika hendak meneruskan perjalanan, kereta mangsa tiba-tiba dipintas oleh dua buah kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam sebaik dia tiba di Jalan Besar Kampung Gong Badang.
“Mangsa sempat menghubungi seorang anggota polis di Balai Polis Kampung Raja dekat sini untuk memaklumkan mengenai kejadian itu namun polis yang tiba tidak lama kemudian gagal menemui kereta mangsa di situ,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Tambahnya, sekitar pukul 7 pagi orang ramai menemui mangsa yang telah pengsan akibat kehilangan banyak darah di dalam kereta akibat ditetak di kepala selain kesan luka di lengan dan kaki di depan klinik tersebut.
Jarak antara klinik dengan lokasi kereta mangsa dipintas kira-kira tujuh kilometer.
Menurut Mohd. Zamri, mangsa kini dirawat di Hospital Besut di sini dan masih belum sedarkan diri.
“Anak mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan polis tidak menolak kemungkinan serangan itu berpunca kerana dendam atau hutang berkaitan aktiviti pengedaran dadah,” katanya.
Semakan mendapati mangsa mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Siasatan awal mendapati serangan itu diketuai oleh seorang lelaki dikenali sebagai ‘Taufik’ dan polis sedang mengenal pasti suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326/363 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera serta culik.
No comments:
Post a Comment