Translate

Monday, September 25, 2017

Suami isteri didakwa buat tuntutan palsu RM211,646

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARIAH KHALIDI

KUALA TERENGGANU – Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas enam pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM211,646 bagi tender pembekalan telur dan susu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini antara Februari dan Julai lalu.

Mohd. Fikri Izani, 26 yang merupakan pengurus sebuah syarikat pembekalan dan isterinya, Noormazida Mukhtar, 28, yang merupakan Pembantu Tadbir Jabatan Dietetik dan Sajian HSNZ mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz.

Mereka menghadapi dua pertuduhan berhubung dakwaan penipuan tender pembekalan susu manakala empat lagi pertuduhan membabitkan tender telur yang sebenarnya tidak wujud.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga keempat, Mohd. Fikri dan Noormazida didakwa mengemukakan dokumen tuntutan palsu berhubung pembekalan telur berjumlah keseluruhan RM113,066 yang sebenarnya tidak wujud kepada Jabatan Dietetik dan Sajian HSNZ antara 12 Februari dan 31 Mei lalu.
Bagi pertuduhan kelima dan keenam pula, kedua-dua tertuduh didakwa mengemukakan dokumen tuntutan palsu pembekalan susu berjumlah RM98,580 yang sebenarnya tidak pernah dibekalkan kepada Jabatan Dietetik dan Sajian HSNZ pada 9 Jun dan 3 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai barangan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Mohammad Haldar membenarkan Mohd. Fikri dan Noormazida dibebaskan dengan wang jaminan RM13,000 dan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan serta memerintahkan sebutan semula kes pada 23 Oktober depan. Kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan yang dikenakan.

No comments:

Post a Comment