Translate

Wednesday, September 27, 2017

Kerajaan beri tumpuan kepada produk tani, ternak dan perikanan kekayaan baharu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengunjur untuk meningkatkan sumbangan segmen agromakanan meliputi industri pertanian, penternakan dan perikanan kepada 5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2025.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pada ketika ini, segmen agromakanan masih memainkan peranan kecil dengan sekadar menyumbang 3.3 peratus kepada KDNK.

“Sumbangan sektor agromakanan kepada KDNK negara masih kecil, malah kita masih banyak bergantung kepada import manakala eksport (produk agromakanan) juga tidak berapa besar.

“Oleh itu, saya mahu kementerian (Pertanian dan Industri Asas Tani) dengan bantuan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) merangka pelan bagi meningkatkan sumbangan segmen ini ke tahap lima peratus pada tahun 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Terengganu ke-43 di sini semalam.

Ahmad Shabery berkata, tumpuan harus diberikan kepada beberapa produk pertanian, penternakan dan perikanan yang memberi keuntungan besar dan dianggap sumber kekayaan baharu bagi mencapai sasaran terbabit
Menurut beliau, antara produk agromakanan berdaya maju yang akan diberi tumpuan khusus dalam tempoh lapan tahun akan datang termasuk jagung bijian, durian, tenusu, madu kelulut dan ikan tuna.

“Produk jagung bijian untuk haiwan ternakan dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap import yang kini bernilai RM5 bilion setahun.

“Sementara durian dengan harga yang semakin meningkat dapat  memberikan keuntungan yang besar kepada pengusaha, malah pasarannya juga telah diperluaskan ke banyak negara,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery memaklumkan, seramai 800,000 peladang mendaftar dengan Nafas di seluruh negara pada masa ini.

No comments:

Post a Comment