Translate

Sunday, September 17, 2017

Persandingan paling ramai

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 271 pasangan pengantin dari seluruh Terengganu bersanding secara serentak di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini semalam yang diiktiraf sebagai majlis persandingan pengantin paling ramai oleh Malaysia Book of Records.

Terdahulu menerusi program Keluarga Generasi Transformasi Terengganu Baharu (TTB): Perkahwinan Perdana itu, seramai 70 pasangan pengantin dari daerah ini dan Kuala Nerus dinikahkan di Masjid Kristal, TTI pada pukul 8.30 pagi manakala selebihnya telah melangsungkan penikahan di daerah masing-masing kelmarin.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, program tahunan yang kali kedua dianjurkan tersebut merupakan tanda keprihatinan kerajaan negeri untuk membantu golongan muda dan meringankan beban ahli keluarga mereka mengadakan majlis perkahwinan.

“Pasangan pengantin terbabit terdiri daripada penduduk negeri ini yang berusia dalam lingkungan 18 hingga 35 tahun, pertama kali berkahwin, tiada rekod jenayah dan masalah kesihatan serta pendapatan pasangan RM3,000 ke bawah.

“Mereka menerima satu set persalinan, pakej set persandingan, pakej bulan madu tiga hari dua malam, Sijil Premium Bank Simpanan Nasional bernilai RM1,000 dan jemputan jamuan seramai 50 orang bagi setiap pasangan,” katanya selepas merenjis mawar sebahagian pasangan pengantin berkenaan di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Roslee Daud.

No comments:

Post a Comment