KEMAMAN - Isu penindasan masyarakat minoriti Islam Rohingya di Rakhine, Myanmar diharap menjadi antara agenda penting yang akan disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam kunjungan ke Rumah Putih mulai Selasa ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebelum ini, Najib sebagai salah seorang pemimpin Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Islam telah berulang kali menyatakan keprihatinan beliau terhadap masalah kemanusiaan yang berlaku di Myanmar tersebut.
"Kita rakyat Malaysia tanpa mengira parti politik, agama dan keturunan berharap Perdana Menteri (Najib) dapat memberitahu Presiden Trump supaya organisasi keamanan dunia dan Amerika Syarikat dapat menangani masalah orang Rohingya yang dibunuh dengan kejam di Myanmar.
"Masalah Rohingya bukan masalah agama dan bangsa tetapi masalah kemanusiaan," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kemaman di Chukai di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman, Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment