Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, pembukaan ZBCTK secara tidak langsung telah melengkapkan pakej Tasik Kenyir sebagai destinasi percutian lengkap keluarga iaitu menikmati alam semulajadi sambil membeli-belah.
"Menyedari pontensi itu, tidak mustahil ZBCTK yang digazetkan di kawasan seluas 65,650 hektar di tasik buatan terbesar di negara ini mampu menjadi hab ekonomi Pantai Timur.
"Buat permulaan, kita sasar ia dapat setanding dengan beberapa zon-zon bebas cukai lain yang sedia ada di negara ini seperti Pulau Langkawi, Rantau Panjang dan Padang Besar pada masa terdekat," katanya ketika merasmikan ZBCTK baru-baru ini.
Ahmad Razif berkata, pembukaan zon bebas cukai di Tasik Kenyir itu tepat pada masanya dan sebahagian strategi kerajaan negeri Terengganu untuk merancakkan lagi industri pelancongan.
"Industri pelancongan telah dikenalpasti sebagai sumber pendapatan alternatif negeri yang terpaksa mengurangkan kebergantungan kepada hasil petroleum ekoran kejatuhan harga bahan api itu di pasaran global sejak kebelakangan ini.
"Sebelum ini, hasil petroleum menyumbang 85 peratus daripada pendapatan tahunan negeri dan kita telah kehilangan RM1.2 bilion setahun akibat kejatuhan harga bahan api itu," jelas beliau.
Ahmad Razif berkata, penumpuan pada industri pelancongan merupakan salah satu daripada program transformasi ekonomi yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri Terengganu.
Jelas beliau, Tasik Kenyir merupakan aset berharga yang dimiliki dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi menjayakan agenda transformasi ekonomi berkenaan.
No comments:
Post a Comment