Translate

Monday, September 4, 2017

Kisah guru ikon

BIARPUN sudah bersara sejak 13 tahun lalu, jiwa seorang pendidik masih melekat dan begitu sebati dalam diri Khaw Choon Keat yang kini sudah meniti usia 69 tahun.

Perkara itu tidak menghairankan kerana lelaki yang kini menetap di Taman Pelangi, Johor Bahru, Johor itu mempunyai 32 tahun pengalaman dalam dunia pendidikan.

Kariernya bermula sebagai guru siswazah di Tengku Bariah Secondary School (kini Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah (SMKTB), Kuala Terengganu, Terengganu sebaik menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dan Diploma Pendidikan dari Universiti Malaya pada tahun 1971.

Sepanjang lapan tahun menabur bakti di SMKTB, Choon Keat merupakan seorang guru yang gigih mendidik anak bangsa tanpa mengenal erti penat.

“Masa itu, guru bersiswazah seperti saya tidak ramai di sekolah ini, tidak sampai 10 orang pun. Selain mengajar di kelas, kami juga diberi banyak tanggungjawab lain.

“Saya telah diamanahkan sebagai guru pembimbing pengawas, olahraga, pengakap, hoki dan bola tampar. Pada masa itu, kami guru-guru siswazah tidak pernah mengeluh, malah rasa bahagia dan puas dapat membantu pelajar menonjolkan bakat dan kebolehan dalam akademik dan kokurikulum,” katanya ketika ditemui pada majlis pertemuan semula dengan hampir 50 bekas pelajarnya di SMKTB, Kuala Terengganu baru-baru ini.
Choon Keat berkata, sebagai seorang guru, beliau sentiasa memegang prinsip agar sentiasa menyayangi pelajarnya dan meletakkan kepentingan masa depan anak didiknya sebagai keutamaan.

Menurut beliau, seorang guru boleh menjadi individu yang berpersonaliti tegas dan garang tetapi perasaan sayang kepada anak murid mengatasi segalanya.

“Mungkin sebab itu, hubungan saya dengan kebanyakan bekas pelajar tidak pernah putus biarpun ada antara mereka sudah lebih 40 tahun meninggalkan alam persekolahan,” jelasnya yang bersara pada tahun 2003.

Menurut Choon Keat, beliau juga memegang azimat bekas pengetua SMKTB, Jamaluddin Ali yang mahu semua guru dan pelajar agar sentiasa berusaha keras menjadikan sekolah itu sebagai nombor satu sekurang-kurangnya di peringkat daerah.

“Kata-kata azimatnya ‘jadikan sekolah kita sebagai sekolah yang menjadi sebutan masyarakat apabila memperkatakan tentang Kuala Terengganu’ menjadi pedoman saya.

“Oleh itu, apabila saya diberi peluang untuk menjadi pengetua di SMK St. Andrew, Muar dan SMK Pekan Nanas, Pontian pada lewat 1990-an hingga awal 2000-an, saya sentiasa berazam untuk menjadikan kedua-dua sekolah itu sebagai nombor satu di daerah masing-masing,” ujarnya bersemangat.

Berkat dedikasi Choon Keat, tidak hairanlah ramai bekas pelajarnya cemerlang dan kini mengisi posisi penting dalam bidang masing-masing.

Antaranya ialah Naib Presiden Kanan Kumpulan Pengurusan Sumber Manusia Petronas, Datuk Raiha Azni Abd. Rahman, Setiausaha Kehormat Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia, Datin Seri Norliah Che Mohammad dan Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Abdul Razak Mat Amin.

Globalisasi
Begitupun Choon Keat berkata, beliau sentiasa percaya indikator kejayaan seseorang manusia yang sebenarnya adalah apabila dia berjaya membina keluarga yang sentiasa menyayangi antara satu sama lain.
Mengulas perkembangan pendidikan masa kini, beliau berpendapat, situasi pembelajaran pada alaf baharu sudah berubah seiring dengan peredaran waktu.

“Generasi muda pada masa ini lebih terdedah kepada teknologi. Oleh itu, guru-guru kini perlu memastikan mereka lebih cekap dan bijak menggunakan dan mengoptimumkan teknologi sebagai bahan bantu pengajaran yang memberi kesan positif kepada pelajar,” katanya yang pernah menganggotai pasukan yang membuat kajian berhubung Sekolah Pintar di Toronto, Kanada pada lewat 1990-an.

Hasil kajian tersebut menjadi panduan buat Kementerian Pendidikan untuk membina makmal komputer di semua sekolah di negara ini bermula pada sekitar tahun 2000.

Dalam perkembangan sama, Choon Keat juga menyanjung tinggi pendekatan Kementerian Pendidikan yang menekankan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) sebagai keutamaan dalam sistem pendidikan nasional.

Beliau yang merupakan antara generasi pertama yang melanjutkan pelajaran ke Jepun berikutan Dasar Pandang ke Timur yang diperkenalkan kerajaan pada awal 1980-an berkata, cabaran globalisasi pada masa ini mampu menggoyahkan generasi mendatang sekiranya mereka tidak didedahkan pendekatan penyelesaian masalah secara kreatif.

“Generasi baharu perlu dilatih untuk sentiasa berfikir di luar kotak dan dididik bahawa masalah tidak semestinya dapat diselesaikan dengan satu cara sahaja.

“Kita perlu menggalakkan pelajar berfikir secara kreatif kerana ia prasyarat untuk menghadapi kehidupan masa depan yang semakin mencabar,” katanya yang memperolehi Diploma Pengurusan Sekolah dari Universiti Yokohama, Jepun pada tahun 1983.

Choon Keat juga pernah dilantik sebagai Nazir Sekolah Persekutuan untuk Wilayah Selatan (Johor) pada 1979 sehingga beliau melanjutkan pelajaran ke Jepun dengan biasiswa Jabatan Pentadbiran Awam dua tahun kemudian.

No comments:

Post a Comment