Translate

Saturday, September 23, 2017

Peniaga hantar SMS lucah kepada cikgu sekolah dijel

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara menghantar 10 sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) lucah terhadap seorang cikgu wanita di sebuah sekolah rendah pada tahun lalu, seorang peniaga runcit dijatuhi penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Mohd. Basyir Abu Bakar, 37, yang sebelum ini mengaku tidak bersalah sewaktu pertama kali kes itu disebut pada 9 Ogos lalu telah menukar pengakuan bersalah pada sebutan semula kes di hadapan Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz.

Hakim Mohammad Haldar kemudiannya memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 30 bulan atau tiga bulan terhadap setiap pertuduhan tersebut.

Begitupun, beliau memerintahkan hukuman penjara berkenaan dijalankan secara serentak bermula dari tarikh Mohd. Basyir ditahan iaitu 8 Ogos lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nazrul Nizam manakala tertuduh diwakili peguam bela, Muhd. Zul Basysyar Saharrudin.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Basyir didakwa membuat penghantaran komunikasi lucah menggunakan SMS secara sedar ke nombor telefon bimbit lain dengan niat untuk mengganggu individu berkenaan yang merupakan seorang guru wanita.

Tertuduh didakwa menghantar SMS lucah itu kepada mangsa antara pukul 12.40 tengah malam, 1 Mac 2016 dan pukul 6.08 petang, 4 Mac 2016.
SMS tersebut didakwa dibaca penerima di sebuah premis tidak bernombor di hadapan Sekolah Kebangsaan Bukit Puteri, Kampung Tok Has, Jerteh, Besut.

Mohd. Basyir didakwa mengikut Seksyen 233(1)(A) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment