Translate

Monday, September 11, 2017

T-Team resah,
Mohd. Nor Hakim menghilang

PASUKAN berstatus kelab, T-Team resah selepas pemain tengah, Mohd. Nor Hakim Hassan menghilangkan diri dan gagal menghadiri diri dalam sesi latihan kira-kira tiga minggu lalu.

Pengurus pasukan, Datuk Mohammad Kamil Othman berkata, kali terakhir pemain berusia 26 tahun bersama dengan kelab tersebut sewaktu perlawanan Liga Super menentang Melaka United di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 5 Ogos lalu.

“Dia gagal dikesan dan tidak hadir dalam sesi latihan yang bermula pertengahan bulan lalu selepas diberi cuti se–minggu sejurus aksi de–ngan Melaka United.

“Setakat hari ini (semalam) sudah 19 hari dia menghilangkan diri dan pihak pengurusan T-Team masih belum menerima penjelasan berhubung perkara itu,” katanya kepada pembe–rita di Kuala Terengganu semalam.

Mohammad Kamil berkata, sikap tidak profesional Mohd. Nor Hakim itu amat mengecewakan kerana ia sedikit sebanyak akan menjejaskan persiapan pasukan termasuk aksi menentang Pahang dalam saingan Piala Malaysia malam ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa pemain muda terbabit segera tampil ke pangkuan pasukan dan memberi penjelasan berhubung kehilangannya itu.

“Pengurusan T-Team masih buka pintu rundingan kepada dia tetapi pada masa sama kami sukar untuk berkompromi dengan masalah disiplin seperti ini.

“Sekiranya masalah terus berlarutan, kita tidak teragak-agak untuk menamatkan kontraknya bersama pasukan,” katanya.

Mohd. Nor Hakim merupakan pemain perancang utama T-Team pada musim ini yang membantu barisan serangan pasukan mencipta jaringan dan telah meledak lima gol dalam kempen Liga Super setakat ini.

Pemain yang mula menyinar bintangnya bersama The Titans sejak musim lalu turut dikaitkan dengan beberapa pasukan dalam Liga Malaysia pada jendela perpindahan Mei lalu.

No comments:

Post a Comment