Translate

Saturday, September 23, 2017

Lanun rompak kapal tangki dijel

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARIAH KHALIDI

KUALA TERENGGANU – Seorang ke­tua lanun dan 10 konconya yang terdiri daripada warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 16 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mengaku bersalah merompak sebuah kapal tangki membawa minyak diesel bernilai RM7 juta pada awal bulan ini.

Tujuh daripada 11 tertuduh terbabit yang berusia dalam lingkungan 31 hingga 46 tahun turut dihukum lima sebatan.

Bagaimanapun, ketua lanun, Heinrick Piterson Parera, 59, dan tiga yang lain terlepas daripada hukuman sebat berikutan faktor usia.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farahah Mohd. Suah manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Heinrick membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz.
Dia didakwa bersubahat untuk merompak secara berkumpulan kapal MT MGT 1 milik syarikat Marine Global Transport berpangkalan di Thailand dengan bersenjatakan pisau dan parang bersama 10 tertuduh lain serta tiga lagi yang masih bebas di perairan Terengganu pada 6 September lalu.

Heinrick didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, Seksyen 395 dan Seksyen 397 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

Sementara itu, 10 tertuduh lain iaitu Anne Raja, 40, Kreston Muhaling, 40, La Abu, 43, Badiun, 46, Meidy Hermanus Wajongkere, 47, Rollan Kapahese, 38, Oktemi Supri, 31, Arsito Mohd. Hardi, 52, Bram Ali, 54, dan Lurther Marnis Zachawerus, 51, mengaku salah merompak kapal tangki tersebut di hadapan Hakim Rofiah Mohamad.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 akta sama turut didakwa mendatangkan kerugian serta ketakutan terhadap 14 kru kapal MT MGT 1 yang kesemuanya warga Thailand.

Selain hukuman penjara 16 tahun, Rofiah memerintahkan Anne, Kreston, La, Badiun, Meidy, Rollan dan Oktemi  menerima sebatan sebanyak lima kali.

Mengikut fakta kes, Heinrick telah ditahan pasukan penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) di sebuah hotel bajet di Larkin, Johor Bahru pada pukul 8.30 malam, 7 September lalu.
Penangkapan itu dilakukan selepas APMM menerima maklumat daripada salah seorang perompak yang dicekup setelah rompakan kapal tangki berkenaan berjaya dipatahkan agensi tersebut pada awal pagi 7 September lepas.

Siasatan mendapati tertuduh pertama merupakan perancang utama rompakan itu dengan menyediakan kapal dan bot pancung kepada konco-konconya untuk merompak kapal tangki tersebut.

Heinrick juga berperanan memantau, mengkaji dan membuat pemerhatian terhadap pergerakan kapal MT MGT 1 menerusi laman web pencarian kapal di internet selama dua bulan sebelum rompakan berlaku.

Kosmo! 8 September lalu melaporkan APMM berjaya menggagalkan tindakan sekumpulan 10 lanun dipercayai warga Indonesia untuk melarikan kapal dagang, MT MGT 1 yang dikesan berada pada kedudukan kira-kira tiga batu nautika dari Pulau Yu Besar berhampiran Pulau Redang dekat sini pada pukul 2.05 pagi.

No comments:

Post a Comment