Translate

Sunday, September 24, 2017

Lanun bolos kawalan terapung 3 minggu di laut

KUALA TERENGGANU – Salah seorang daripada tiga lanun warga Indonesia yang berjaya meloloskan diri daripada kawalan Maritim Malaysia (APMM) selepas merampas sebuah kapal tangki pada awal bulan ini akhirnya diberkas Khamis lalu.

Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Rahim Ramli berkata, suspek berusia 46 tahun ditemui beberapa penduduk kampung ketika terdampar di pantai Seberang Takir, Kuala Nerus.

Katanya, ketika ditemui, suspek memperkenalkan diri sebagai Sabri Adnan.

“Bagaimanapun, selepas membuat semakan, kami mendapati suspek sebenarnya salah seorang daripada tiga lanun yang berjaya meloloskan diri dalam operasi menyelamatkan kapal tangki, MT MGT 1 di perairan Terengganu berhampiran Pulau Yu Besar pada 6 September lalu.

“Ia berdasarkan semakan gambar pasport milik suspek tersebut yang berada dalam simpanan APMM," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Tambahnya, siasatan mendapati suspek telah bersembunyi di dalam kapal milik syarikat Marine Global Transport yang berpangkalan di Thailand ketika ia ditawan semula oleh APMM.

Menurut Rahim, suspek kemudian telah terjun ke laut dari kapal yang membawa muatan diesel bernilai RM7 juta itu tanpa disedari penguat kuasa APMM.

“Suspek mendakwa sepanjang tiga minggu itu, dia telah terapung di perairan Terengganu sebelum terdampar. Dia kini direman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Khamis lalu, Kosmo! melaporkan seorang ketua lanun dan 10 konconya yang terdiri daripada warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 16 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah merompak kapal tangki MT MGT 1 pada awal bulan ini.

No comments:

Post a Comment