Translate

Tuesday, September 26, 2017

Ajal dalam tandas stesen minyak

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SETIU – Sebuah stesen minyak di Merang di sini gempar dengan penemuan mayat seorang lelaki berusia 40-an yang me­ninggal dunia di dalam sebuah tandas di premis itu semalam.

Kejadian itu disedari oleh salah seorang pekerja stesen minyak tersebut yang mencurigai kehadiran sebuah motosikal di hadapan tandas berkenaan pada pukul 5 pagi.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkif­li Mat Deris (gambar kecil) berkata, pekerja stesen minyak berkenaan kemudiannya memeriksa tandas terbabit selepas mendapati motosikal berkenaan masih berada di lokasi kejadian biarpun sudah sejam berlalu.

“Dia mengesyaki seseorang telah terperangkap di dalam salah sebuah tandas di stesen minyak itu selepas salah satu pintu berkunci dari dalam dan tiada sesiapa memberi respons daripada sahutannya sebelum bertindak menghubungi pihak berkuasa pada pukul 6.43 pagi.

“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Setiu yang tiba tidak lama kemudian telah membuka pintu tandas berkenaan dengan menggunakan alat pemotong sebelum menemui tubuh seorang lelaki berusia dalam lingkungan ­40-an terbaring dalam tandas ber­kenaan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Zulkifli berkata, pemeriksaan pegawai perubatan dari Klinik Desa Merang kemudiannya mengesahkan lelaki tersebut telah meninggal dunia sebelum mayatnya di bawa ke Unit Forensik Hospital Setiu di sini untuk dibedah siasat.

Menurut beliau, setakat ini, identiti si mati masih belum dikenal pasti memandangkan tiada sebarang dokumen penge­nalan diri termasuk MyKad milik lelaki tersebut ditemui di lokasi kejadian.

“Carian awal mendapati motosikal dipercayai digunakan mangsa yang ditinggalkan di hadapan tandas terbabit milik seorang lelaki berasal dari Kampung Penarek dekat sini.

“Siasatan masih diteruskan dan setakat ini kes masih diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. Orang ramai yang mengenali mangsa atau kehilangan ahli keluarga diminta tampil untuk membantu siasatan polis,” katanya.

No comments:

Post a Comment