KONTINJEN Terengganu menyasarkan untuk kembali menjadi juara keseluruhan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2018 yang bakal diadakan di Perak tahun depan, lapor MOHD. AZLI ADLAN.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, kontinjen Terengganu sedang membuat persediaan awal bagi merebut sebanyak mungkin daripada 430 pingat emas yang ditawarkan pada Sukma ke-19 itu.
“Kita sedang melakukan persiapan yang lebih mantap dan kemas bagi mencapai sasaran untuk kembali menjadi juara keseluruhan Sukma seperti yang pernah dicapai pada edisi 2008, 2010, 2011 dan 2012.
“Setakat ini, persediaan kontinjen Terengganu sudah berada pada fasa kedua dengan melibatkan 700 atlet bagi 29 acara yang akan disertai.
“Bilangan atlet itu akan dikecilkan dalam lingkungan 400 hingga 500 orang pada fasa ketiga yang bakal bermula Disember depan,” katanya selepas merasmikan Himpunan Atlet Sukma Terengganu bagi mengira detik setahun sebelum Sukma 2018 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus semalam.
Turut hadir Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu, Ibni Amin Busu.
Rozi berkata, MSN telah mengenal pasti beberapa disiplin sukan seperti judo, berbasikal, memanah dan menembak yang disasar bakal menjadi lubuk emas buat kontinjen Terengganu pada Sukma 2018.
Beliau berkata, kesemua atlet bagi disiplin sukan yang menjadi taruhan kontinjen Terengganu tersebut bakal menerima latihan intensif termasuk menjalani latihan di luar negara.
Pada Sukma Sarawak tahun lalu, kontinjen Terengganu terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga di belakang Selangor dan Sarawak dengan kutipan 46 pingat emas, 40 perak dan 42 gangsa.
No comments:
Post a Comment