KUALA LUMPUR – Kemelut jawatan Menteri Besar (MB) Terengganu akhirnya selesai apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengesahkan Ahmad Razif Abd. Rahman kekal memegang jawatan tersebut.
Najib berkata, perkara itu diputuskan setelah beliau menghadap dan mengadakan perbincangan bersama Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin serta mendapat perkenan baginda untuk mengekalkan jawatan Ahmad Razif kelmarin.
“Justeru, pengumuman yang dibuat ini diharap dapat menyelesaikan segala persoalan yang timbul dan andaian yang dibuat mengenai kedudukan beliau.
“Saya menyifatkan segala isu dan kemelut politik yang melanda kerajaan Terengganu selesai menerusi pengumuman yang dibuat ini,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Pekerja 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini semalam.
Mengulas lanjut Najib memberitahu, dia berharap Ahmad Razif dapat terus menjalankan tugas dengan baik dalam memastikan Terengganu terus maju dan sejahtera.
Terdahulu, menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, semua darjah kebesaran yang dikurniakan oleh Sultan Terengganu kepada Ahmad Razif ditarik balik berkuat kuasa 22 April lalu.
Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Takir mengangkat sumpah sebagai MB Terengganu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said pada 12 Mei 2014.
Dalam pada itu, di Kuala Terengganu, Ahmad Razif melahirkan rasa syukur kerana masih diberi kepercayaan untuk menerajui kerajaan negeri atas perkenan istana.
Kata Ahmad Razif, beliau amat berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana berjaya menyelesaikan isu kepimpinan kerajaan negeri itu yang sudah berlarutan lebih seminggu.
“Saya yakin apa yang berlaku ada hikmah dan pengajarannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
No comments:
Post a Comment