KUALA TERENGGANU – Pengawal peribadi Timbalan Menteri Perusahaan, Peladangan dan Komoditi, Lans. Koperal Ahmad Sobri Harun, 26, (gambar) yang merupakan salah seorang mangsa yang terlibat dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak sempat memohon restu daripada ibunya sebelum menaiki pesawat malang tersebut petang kelmarin.
Adik bongsu mangsa, Siti Noriah, 22, berkata, abang keempatnya daripada lima beradik itu telah menghubungi ibunya, Fauziah Musa beberapa jam sebelum dia dilaporkan hilang bersama empat penumpang lain pesawat itu termasuk Timbalan Menteri Perusahaan, Peladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan suaminya, Tuan Asmuni Abdullah.
“Itulah kali terakhir abang (Ahmad Sobri) menghubungi ibu yang ketika itu berada di rumah (Kampung Bukit Cempaka, Tepoh).
“Saya mengetahui berita tentang nahas menimpa abang pada pukul 9 malam selepas dihubungi kakak yang menetap di Kuala Lumpur. Sebelum itu, saya ada menonton berita televisyen mengenai kehilangan helikopter itu tapi tak sangka pula ia melibatkan abang,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Bukit Cempaka, Tepoh di sini semalam.
Siti Noriah memberitahu, kesemua ahli keluarganya termasuk ibu dan bapanya, Harun Muda, 61, telah bergegas ke Kuala Lumpur pada pagi semalam untuk mendapatkan perkembangan lanjut berhubung tragedi helikopter terbabit.
No comments:
Post a Comment