Translate

Monday, May 23, 2016

Bunyi penggera takutkan perompak

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARUDIN HAMZAH


BESUT – Niat seorang perompak untuk melarikan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) di Agrobank di Kuala Besut dekat sini tidak menjadi apabila dia terpaksa melarikan diri kerana panik selepas mendengar alat penggera berbunyi.
Dalam kejadian pukul 5.20 pagi semalam, sebuah mesin ATM yang sudah berjaya ditarik keluar dari bank sejauh 15 meter ditemui tersadai di jalan raya manakala mesin CDM yang cuba diumpil menggunakan kuku kambing dan cangkul kecil juga tidak berhasil.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, siasatan polis di lokasi kejadian mendapati semasa rompakan, bank tersebut menempatkan dua buah mesin ATM dan sebuah mesin CDM.
Menurut beliau, perompak pada mulanya dipercayai cuba mengumpil mesin CDM menggunakan kuku kambing dan sebatang cangkul kecil namun gagal.
Selepas itu, Zamri memberitahu, perompak beralih kepada mesin ATM yang cuba dilarikan dengan cara mengikat mesin ATM tersebut menggunakan tali untuk ditarik dengan kereta Proton Wira.
“Selepas mesin ATM berjaya ditarik keluar sejauh 15 meter dari bank, alat penggera dipasang di bank berbunyi.
“Penjenayah yang panik dengar bunyi alat penggera itu terpaksa membatalkan hajatnya dan meninggalkan mesin ATM yang berjaya ditarik ke jalan raya sebelum melarikan diri tanpa mendapat apa-apa,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.
Sebuah lagi mesin ATM, milik bank itu tidak diusik. Pemeriksaan mendapati mesin CDM itu mempunyai kesan cuba diumpil.
Zamri berkata, pemeriksaan ke atas dua buah mesin ATM dan sebuah mesin CDM milik Agrobank mendapati wang di dalam ketiga-tiga mesin tersebut tidak hilang.
Mengulas lanjut, kata beliau, cubaan merompak itu diterima polis selepas dihubungi seorang wakil syarikat keselamatan yang bertanggungjawab memantau alat penggera yang dipasang bank tersebut.
Jelasnya, pemeriksaan di lokasi kejadian turut mendapati pintu kaca premis Agrobank pecah dipercayai akibat tindakan penjenayah menarik keluar mesin ATM yang diikat pada kereta.
“Menerusi televisyen litar tertutup (CCTV), polis nampak hanya seorang lelaki memasuki bank itu dan penjenayah terbabit menggunakan kereta Proton Wira,” kata beliau.
Berikutan kejadian itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung cubaan merompak mesin ATM dan mesin CDM tersebut diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
“Ini merupakan kejadian kedua selepas kejadian pertama rompakan mesin ATM pada 18 Mei 2014 yang menyebabkan kerugian sebanyak RM160,000,” kata beliau.
Sejak kebelakangan ini, polis kerap menerima kes-kes merompak mesin ATM di seluruh negara. Antara taktik yang digunakan penjenayah termasuklah menggunakan bahan letupan untuk memecahkan mesin ATM.

No comments:

Post a Comment