Translate

Friday, May 27, 2016

Guru diarah berlatih tepuk tangan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA TERENGGANU – Satu rakaman klip video yang menunjukkan guru-guru dan murid-murid di sebuah sekolah kebangsaan di sini mengadakan latihan bertepuk tangan selama lima minit telah tersebar menerusi laman sosial YouTube sejak semalam.
Latihan bertepuk tangan pada perhimpunan pagi itu dipercayai dibuat berdasarkan arahan yang dikeluarkan oleh Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin kepada semua guru di negeri ini.
Beliau didakwa mengeluarkan arahan itu menerusi WhatsApp selepas guru-guru tidak memberikan sebarang reaksi dengan memberikan tepukan bergemuruh pada sambutan Hari Guru peringkat negeri yang dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman di sini pada Selasa lalu.
Bagaimanapun, ketika mengulas mengenai kejadian tersebut, Shafruddin mengaku memberi arahan itu dalam kumpulan WhatsApp yang dianggotai oleh pengurusan kanan Jabatan Pendidikan negeri dan sebahagian guru besar dan pengetua sekolah di Terengganu.
“Kami memperkenalkan budaya berterima kasih dan memberi penghargaan kepada sesiapa yang memberi sesuatu kepada kita dengan memberi tepukan.

“Permintaan untuk guru bertepuk tangan merupakan satu cara menceriakan sesuatu majlis rasmi. Mudah-mudahan amalan baik ini akan menjadi ikutan pelajar,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.

Beliau mengulas mengenai arahan supaya guru-guru me­ngadakan latihan bertepuk ta­ngan selepas warga pendidik itu tidak memberikan sebarang reaksi semasa Ahmad Razif mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 kepada Jabatan Pendidikan negeri pada Selasa lalu.

Peruntukan yang disumbangkan oleh tiga buah syarikat berkaitan kerajaan milik kerajaan negeri itu akan disalurkan kepada sekolah yang mencapai keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Pentaksiran Tingkatan Tiga dan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini.

Shafruddin berkata, arahan latihan bertepuk tangan itu juga diterapkan menerusi program Memperkasakan Transformasi Pendidikan yang diperkenalkannya sejak memegang jawatan Pengarah Pendidikan negeri pada April tahun lalu.

Beliau berkata, walaupun latihan bertepuk tangan baru bermula kelmarin, beliau mendapati amalan itu telah diterima dengan baik oleh guru dan pelajar di negeri ini.


No comments:

Post a Comment