Translate

Monday, May 16, 2016

4 didakwa dera gadis sampai mati

Oleh MOHD. AZLI ADLAN ADLAN

KEMAMAN – Empat beranak iaitu bapa, ibu tiri dan dua anak mereka didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan membunuh seorang gadis berusia 22 tahun yang hanya seberat 18 kilogram (kg) ketika meninggal du­nia dalam kejadian di Cukai dekat sini akhir bulan lalu.

Tertuduh-tertuduh itu ialah Anuar Jusoh, 49, isterinya, Murni Ahmad, 35, dan dua anak pasangan itu iaitu Siti Sarah, 21, dan seorang remaja lelaki ber­umur 14 tahun.

Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripada Anuar, Murni dan dua adik-beradik itu atas pertuduhan membunuh gadis malang Siti Hajar, 22, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd. Hamdy.

Anuar merupakan bapa kandung kepada Siti Hajar dengan bekas isteri terdahulu manakala  Murni merupakan ibu tiri kepada Siti Hajar. Siti Sarah dan seorang remaja lelaki itu pula merupakan adik-adik kepada Siti Hajar tetapi berlainan ibu.

Anuar dan Murni tidak menunjukkan sebarang reaksi sewaktu mereka dibawa ke kamar mahkamah manakala Siti Sarah dan adik lelakinya kelihatan seperti keliru sepanjang prosiding yang berlangsung kira-kira 10 minit.

Berdasarkan pertuduhan, Anuar, Murni, Siti Sarah dan adik lelakinya didakwa membunuh Siti Hajar dalam kejadian di Batu 5, Jalan Air Putih, Taman Semarak, Binjai, Cukai di sini pukul 10.45 malam, 26 April lalu.

Keempat-empat ber­a­nak itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit ke­salahan.

Pendakwaan dikendali oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Badrul Munir tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan mengarahkan Anuar yang merupakan seorang mekanik ditahan di Penjara Marang.

Murni dan Siti Sarah pula diarahkan ditahan di Penjara Bentong, Pahang manakala tertuduh juvana yang keciciran persekolahan sejak setahun lalu diarahkan  ditempatkan di Asrama Akhlak Rusila, Marang.

Kes tersebut akan di­sebut semula pada 13 Jun depan.

Difahamkan ibu kan­dung Siti Hajar  menetap di Pulau Pinang.

Kosmo! 3 Mei lalu mela­porkan punca kematian seorang gadis berusia 22 tahun yang memiliki berat badan cuma 18 kilogram pada 26 April lalu ­akhirnya terbongkar apabila mang­sa dipercayai me­ninggal dunia akibat didera oleh keluarganya.

Laporan bedah siasat menunjukkan mangsa me­ninggal dunia kerana  jangkitan kuman selain sebahagian besar tubuhnya mempunyai kesan gigitan manusia.

No comments:

Post a Comment