Translate

Wednesday, May 4, 2016

Gagal seludup ke negara jiran

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA TERENGGANU – Satu sindiket yang mencuri kenderaan pacuan empat roda dipercayai untuk diseludup keluar ke negara jiran berjaya ditumpaskan polis Terengganu semalam.
Siasatan awal mendapati, sindiket itu menyasarkan kenderaan pa­cuan empat roda di sekitar Pantai Timur berikutan permintaan tinggi untuk kenderaan jenis itu di negara jiran.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah berkata, anggota sindiket berkenaan yang terdiri daripada tiga lelaki termasuk dua warga Thailand dikesan telah mencuri sebuah kenderaan Mitsubishi Storm milik seorang pekebun pada pukul 12.30 tengah hari.
“Sebelum itu, lelaki berusia 65 tahun tersebut telah meletakkan kenderaannya di tepi jalan berhampiran sebuah restoran makanan segera di Batu Buruk untuk menziarahi kawannya di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.
“Kenderaan Mitsubishi Storm berkenaan dikesan berada di Permaisuri, Setiu dekat sini kira-kira 66 kilometer dari lokasi ia dilaporkan hilang pada pukul 3 petang.
“Sepasukan polis terdiri daripada anggota unit peronda motosikal dan kereta pe­ronda (MPV) telah mengejar kenderaan itu sebelum berjaya memintasnya di Kampung Teluk Tasek, Guntung, Setiu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini semalam.
Wan Abd. Aziz memberitahu, seorang anggota sindiket berkenaan yang memandu kenderaan terbabit berjaya ditahan manakala dua lagi berjaya meloloskan diri ke ladang kelapa sawit berhampiran.

Beliau berkata, suspek yang ditahan merupakan seorang lelaki tempatan berasal dari Batu Pahat, Johor dan dia mempunyai lima kes jenayah lampau melibatkan kecurian kenderaan dan penyalahgunaan dadah.

"Pemeriksaan di dalam kenderaan itu juga menjumpai sebuah pasport dipercayai milik salah seorang suspek yang dikenalpasti sebagai Sobree Palakmuming, 34, dari Sungai Golok, Thailand," katanya.

Wan Abd. Aziz berkata, indentiti lagi seorang suspek yang juga warga Thailand masih belum dikenalpasti dan dia hanya dikenali sebagai Pak Yu.

Beliau berkata, modus operandi sindiket tersebut ialah mengekori kenderaan pacuan empat roda sebelum melarikannya selepas pemiliknya meninggalkan tempat letak kereta. 

"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

No comments:

Post a Comment