Translate

Monday, May 23, 2016

Seorang maut, empat cedera parah ketika dikejar kereta peronda polis

JERTIH - Seorang lelaki maut manakala empat rakannya cedera parah selepas kereta Proton Wira yang dinaiki merempuh sebatang pokok sewaktu dikejar sebuah kereta peronda polis di Kilometer 102, Jalan Kuala Terengganu - Kota Bahru berhampiran Kampung Apal dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi itu, Mohd. Sabri Abd. Ghani, 30, dari Kampung Tualang Manir, Kuala Terengganu dekat sini mati serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Manakala pemandu kereta, Muhamad Khairul Ibrahim, 21 dan tiga penumpang lain iaitu Mohd. Hafizul Mahadi, 33; Wan Khairul Hafizi Wan Shamsul Bahari, 24 serta Faisal Yusuf, 25, pula mengalami cedera parah.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, kereta Proton Wira yang dinaiki kesemua mereka dikesan dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan belakang Pasar Renek, Jabi dekat sini pada pukul 3.10 pagi.
"Kereta yang dipandu Muhamad Khairul telah memecut laju meninggalkan lokasi terbabit selepas seorang anggota polis yang sedang meronda mengenalkan diri bagi tujuan melakukan pemeriksaan.
"Selepas dikejar kereta peronda polis hampir lapan kilometer, kereta Proton Wira itu tiba-tiba terbabas lalu merempuh sebatang pokok di bahu jalan sebelum memasuki kawasan semak berhampiran," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment