Translate

Tuesday, May 24, 2016

Pengantin di Terengganu dapat tanah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 217 pengantin baharu yang menyertai program ‘Keluarga Generasi Baharu Transformasi Terengganu Baru (TTB): Perkahwinan Perdana’ anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) bukan sahaja diraikan secara percuma malah turut menerima sebidang tanah daripada kerajaan negeri.
Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, pemberian tanah tersebut bertujuan membantu pasangan yang baru mendirikan rumah tangga untuk membina rumah bagi memulakan kehidupan berkeluarga.
“Ia selaras dengan konsep TTB yang bukan sahaja mahu membantu pasangan kurang berkemampuan mendirikan rumah tangga, namun beri tanah untuk mereka bina rumah.
“Sudah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk membantu golongan ini keluar daripada garis kemiskinan dan melahirkan generasi baharu yang berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis resepsi 70 pengantin baharu di sekitar daerah ini dan Kuala Nerus yang menyertai program ‘Keluarga Generasi TTB: Perkahwinan Perdana’ di Wisma Darul Iman di sini semalam.
Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Mohd. Zubir Embong dan Pengarah YPKT, Mohd. Shafaruddin Mustaffa.
Ahmad Razif berkata, pejabat tanah dan daerah di seluruh negeri akan diminta mengenal pasti tanah kosong di kawasan masing-masing bagi pelaksanaan skim bantuan terbabit.
Menurut beliau, bagi kos pembinaan rumah pula, pasangan terbabit akan ditawarkan pinjaman sehingga RM50,000 menerusi Skim Pinjaman Perumahan yang diuruskan oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu.
“Selain itu, peserta program yang berminat menjadi usahawan juga diberi keutamaan untuk menerima pinjaman modal berniaga.
“Bagaimanapun, mereka juga diwajibkan menyertai kursus kekeluargaan dan keibubapaan anjuran YPKT dalam tempoh lima tahun perkahwinan,” katanya.
Program tersebut disertai oleh 217 pasangan berusia 18 hingga 30 tahun dan anak kelahiran Terengganu dengan pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah.
Mereka telah dinikahkan di daerah masing-masing pada 14 Mei lalu.
Selain menerima sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional, semua perbelanjaan perkahwinan pengantin baharu itu merangkumi majlis resepsi, pakaian pengantin, bayaran jurunikah dan kad nikah ditaja oleh kerajaan negeri.

No comments:

Post a Comment