Translate

Wednesday, May 11, 2016

Dua pemuda didakwa cuba rasuah polis

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA TERENGGANU – Dua rakan sekampung dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan cuba merasuah seorang anggota polis yang mahu menahan mereka dalam satu serbuan kes dadah pada dua tahun lalu.
Mohd. Fadlil Hasan, 24, dan Faizal Mohamad Fauzi, 28, yang menetap di Kampung Pengkalan Nyireh, Besut dekat sini mengaku bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwaan, Mohd. Hanafi Abd. Rahim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Fadlil dan Faizal didakwa bersama-sama cuba memberi suapan wang tunai RM500 kepada Inspektor Azizan Aziz sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap mereka atas kesalahan disyaki memiliki dadah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah Projek Perumahan Rak­yat Termiskin yang tidak bernombor di Kampung Limbungan, Besut dekat sini pada pukul 12.30 tengah hari, 9 Mac 2014.

 Mohd. Fadlil dan Faizal didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

 Mohd. Azhar membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing dibebaskan dengan wang jaminan sebanyak RM5,000 dan seorang penjamin serta menetapkan Khamis ini sebagai tarikh jatuh hukum.

 Mohd. Fadlil yang merupakan seorang buruh dan Faizal yang sedang meringkuk di dalam penjara dalam kesalahan penyalahgunaan dadah gagal membayar wang jaminan itu dan mereka ditahan di Penjara Marang.

No comments:

Post a Comment