Translate

Tuesday, May 17, 2016

Dua lelaki cuba rasuah polis dipenjara, denda

KUALA TERENGGANU – Gara-gara cuba mera­suah anggota polis, dua rakan sekampung dijatuhi hukuman penjara tiga hari oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Asmadi Hussin turut memerintahkan Mohd. Fadlil Hasan, 24, dan Faizal Mohamad Fauzi, 28, yang menetap di Kampung Pengkalan Nyireh, Besut didenda RM10,000 atau sebulan penjara sekiranya ia gagal dilunaskan.
Kedua-dua tertuduh gagal membayar denda tersebut.

Asmadi menetapkan hukuman bagi Faizal berjalan selepas dia selesai menjalani hukuman penjara atas kesalahan penyalahgunaan dadah di Penjara Marang yang berakhir pada 3 September depan.

Mohd. Fadlil dan Faizal didakwa cuba memberi suapan wang tunai RM500 kepada Inspektor Azizan Aziz agar tidak dikenakan tindakan kerana disyaki memiliki dadah.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Limbungan, Besut dekat sini pada pukul 12.30 tengah hari 9 Mac 2014.

Mengikut fakta kes, serbuan yang dilakukan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Narkotik Terengganu telah menahan Mohd. Fadlil dan Faizal serta seorang lain.

Pemeriksaan di dalam premis terbabit telah menjumpai satu tiub mengandungi serbuk dan dua tiub yang ma­sing-masing mengan­dungi pil disyaki dadah jenis Me­thapetamine.

Mohd. Fadlil dan Faizal kemudian merayu agar dilepaskan sebelum tertuduh pertama kemudiannya cuba menyerahkan wang tunai RM500 kepada Azizan.

No comments:

Post a Comment