KUALA TERENGGANU - Seramai 289 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) yang lebih dikenali sebagai FRU akan dikerahkan untuk bertugas pada dua pilihan raya kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang berlangsung serentak pada 18 Jun ini.
Komander PSP, Senior Asisten Komisioner Wan Abdullah Ishak berkata, Unit Lima yang berpengkalan di Ipoh, Perak akan bertugas di PRK Kuala Kangsar manakala Unit Satu dan Empat dari Markas PSP Cheras pula di PRK Sungai Besar.
"Buat pertama kali juga, PSP akan meletakkan sebuah balai polis bergerak yang dilengkapi dengan kemudahan televisyen litar tertutup, komputer dan bilik mesyuarat bagi memantau perjalanan PRK Sungai Besar.
"Sekiranya berlaku insiden kurang menyenangkan sepanjang PRK di kawasan terbabit, ia boleh dirakam dan dipantau secara langsung dari balai polis bergerak tersebut," katanya selepas merasmikan penutupan Kursus Asas Unit Tempur Ringan peringkat Terengganu di Ibu Pejabat Unit Enam PSP, Wakaf Tapai di sini hari ini. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment