Translate

Tuesday, May 24, 2016

1 mati, 4 parah lari daripada polis

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARUDIN HAMZAH

JERTIH – Seorang lelaki maut manakala empat rakannya cedera parah selepas kereta Proton Wira yang mereka naiki merempuh sebatang pokok ketika dikejar sebuah kereta pe­ronda polis di Kilometer 102, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bahru berhampiran Kampung Apal dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi itu, Mohd. Sabri Abd. Ghani, 30, dari Kampung Tua­lang Manir, Kuala Terengganu dekat sini maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.
Pemandu kereta, Muhamad Khairul Ibrahim, 21 dan tiga penumpang lain iaitu Mohd. Hafizul Mahadi, 33; Wan Khairul Hafizi Wan Shamsul Bahari, 24, serta Faisal Yusuf, 25, pula mengalami cedera parah.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, kereta Proton Wira yang dinaiki kesemua mereka dikesan dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan belakang Pasar Renek, Jabi dekat sini pada pukul 3.10 pagi.
“Kereta yang dipandu Muhamad Khairul telah memecut laju meninggalkan lokasi terbabit selepas seorang anggota polis yang sedang meronda dengan kereta peronda mengenalkan diri bagi tujuan melakukan pemeriksaan.
“Kereta yang dipandu Muhamad Khairul telah memecut laju meninggalkan lokasi terbabit selepas seorang anggota polis yang sedang meronda dengan kereta peronda mengenalkan diri bagi tujuan melakukan pemeriksaan.
“Selepas dikejar kereta pe­ronda itu sejauh hampir lapan kilometer, kereta Proton Wira itu tiba-tiba terbabas lalu merempuh sebatang pokok di bahu jalan sebelum memasuki kawasan semak berhampiran,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Mohd. Zamri berkata, kesan kemalangan itu menyebabkan kereta terbabit putus dua pada bahagian enjin dan kelima-lima lelaki berkenaan tercampak keluar.
Menurut beliau, kereta peronda yang dinaiki anggota polis bertugas turut mengalami kerosakan kecil selepas serpihan enjin kereta Proton Wira yang berterbangan itu mengenai bahagian depan kenderaan tersebut.
“Mayat Mohd. Sabri dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut dekat sini untuk dibedah siasat manakala Muhamad Khairul, Mohd. Hafizul, Wan Khairul Hafizi dan Faisal dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi hospital sama.
“Keadaan Muhamad Khairul dan Faisal dilaporkan kritikal manakala Mohd. Hafizul me­ngalami kecederaan pada kepala dan Wan Khairul Hafizi pula patah kaki kanan dan kepalanya cedera,” katanya.
Mohd. Zamri berkata, siasatan awal mendapati, kereta Proton Wira yang dipandu Muhamad Khairul merupakan milik kakaknya yang menetap di Kampung Manir, Kuala Terengganu dekat sini.
Beliau memberitahu, Mohd. Sabri dan Faizal masing-masing mempunyai satu rekod jenayah lampau melibatkan kes mencuri dan penyalahgunaan dadah.
“Kita juga sedang menyiasat motif sebenar mereka melarikan diri daripada pemeriksaan anggota polis,” katanya.

No comments:

Post a Comment