MUNICH – Penjaga gol Bayern Munich, Manuel Neuer yang baru melanjutkan kontrak selama lima tahun dengan The Bavarians mendakwa kelab-kelab lain sering beranggapan sukar untuk membuatkannya meninggalkan Allianz Arena.
Menurutnya, kelab-kelab lain sering teragak-agak untuk memancingnya meninggalkan juara bertahan Bundesliga itu kerana percaya tawaran tersebut akan ditolak mentah-mentah.
Pada Rabu lalu, Bayern Munich membuat pengumuman tentang kontrak Neuer telah diperbaharui, seterusnya menyaksikan penjaga gol skuad kebangsaan Jerman yang menjuarai Piala Dunia 2014 itu bakal kekal di Allianz Arena sehingga 2021.
Ujar Neuer, sebelum ini beliau sebenarnya berhasrat untuk bertukar angin bagi beraksi dengan kelab di luar negara sehingga timbul spekulasi yang mengaitkannya dengan Manchester City.
Namun, penjaga gol utama Jerman itu memaklumkan, tiada sebarang tawaran diterima kerana kelab-kelab terbabit bimbang tawaran mereka akan ditolak.
“Saya rasa kebanyakan kelab tidak berani untuk menawarkan kontrak kepada saya kerana takut ditolak. Begitupun saya secara jelas mahu terus beraksi dengan Bayern.
“Saya amat selesa dengan kelab ini, kami juga mempunyai persekitaran hebat dan sentiasa berjuang untuk menjulang piala sebanyak mungkin. Oleh itu, bukan lah sukar untuk saya memutuskan untuk terus kekal di sini,” katanya.
Sepanjang menyertai Bayern daripada Schalke pada 2011, Neuer telah memenangi tiga kejuaraan Bundesliga dan Liga Juara-Juara pada 2012-2013. – Agensi
No comments:
Post a Comment