Translate

Thursday, May 12, 2016

Kumbang merah ancam kelapa sawit

DUNGUN – Industri kelapa sawit negara yang me­nyumbang perolehan RM63.5 bilion setahun boleh terjejas akibat ancaman kumbang merah palma atau red palm weevil (RPW) atau nama saintifiknya Rhynchophorus ferrugineus.
Ia adalah sejenis kumbang daripada keluarga curculionidae (coleoptera), merupakan perosak utama bagi tanaman palma seperti kelapa, kelapa sawit dan kurma.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, serangga itu pernah memusnahkan berpuluh ribu hektar ladang kurma di rantau Asia Barat hampir 10 tahun lalu dan kini dikesan telah mula menyerang pokok kelapa sawit di Indonesia.
“Sejak kumbang merah palma memasuki negara ini menerusi pohon kurma yang diseludup dari Thailand pada tahun 2010, serangga itu telah memusnahkan 498 hektar pokok kelapa, 335 pokok kurma dan berpuluh-puluh pokok hiasan jenis palma.
“Ancaman serangga itu kini sudah me­rebak di seluruh negara de­ngan Terengganu dan Kelantan paling teruk terjejas. Di kawasan Kuala Abang di sini, dianggarkan 90 peratus daripada 20 hektar pokok kelapa yang ditanam telah dirosakkan oleh RPW,” katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Pengawalan, Pembendungan dan Penghapusan Kumbang Merah Palma di Kampung Baru, Kuala Abang di sini semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu, Roslee Daud.
Menurut Ahmad Shabery, kerajaan telah mengambil langkah kawalan antaranya, memusnahkan pokok kelapa yang terjejas, memasang 8,000 perangkap feromon  dan menggunakan racun kimia.
RPW yang cepat membiak membunuh pokok jenis palma dengan memakan umbut dan batang pokok dari dalam hingga menyebabkan pelepah dan pucuknya patah sebelum pohon itu mati sepenuhnya dalam tempoh kurang setahun.
Serangga perosak itu dikesan pertama kali di negara ini di kawasan Lapangan Terbang Pengkalan Chepa, Kelantan pada Oktober 2005.
Ketika ini, Malaysia mempu­nyai ladang sawit seluas 4.7 juta hektar termasuk di Sabah dan Sarawak. 

No comments:

Post a Comment