Translate

Saturday, May 7, 2016

Industri kelapa sawit diancam kumbang merah palma

DUNGUN - Industri kelapa sawit negara mempunyai keluasan lebih kurang 90,000 hektar dengan perolehan RM63.5 bilion setahun di seluruh negara berhadapan dengan risiko terjejas akibat ancaman kumbang merah palma yang kini sudah menyerang pohon spesies sama seperti kelapa dan kurma.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kerisauan itu mempunyai asas kerana serangga yang pernah memusnahkan berpuluh ribu hektar ladang kurma di rantau Timur Tengah hampir 10 tahun lalu dikesan telah mula menyerang pokok kelapa sawit di Indonesia.
"Sejak kumbang merah palma memasuki negara ini menerusi pohon kurma yang diseludup dari negara jiran iaitu Thailand pada tahun 2010, serangga itu telah memusnahkan 498 hektar pokok kelapa, 335 pokok kurma dan berpuluh-puluh pokok hiasan jenis palma.
"Ancaman serangga yang menyerang pohon jenis palma itu kini sudah berada di seluruh negara dengan Terengganu dan Kelantan paling teruk terjejas. Di kawasan Kuala Abang di sini sahaja, dianggarkan 90 peratus daripada 20 hektar pokok kelapa yang ditanam telah dirosakkan oleh kumbang merah palma," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan kempen Pengawalan, Pembendungan dan Penghapusan Kumbang Merah Palma di Kampung Baru, Kuala Abang di sini hari ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment