STOKE – Selepas menyaksikan pasukannya dibelasah 0-4, pengendali Stoke City, Mark Hughes percaya Tottenham Hotspur mampu memintas Leicester City, sekali gus meraih kejuaraan EPL musim ini.
Pada aksi kelmarin, Harry Kane dan Dele Alli masing-masing meledakkan dua gol ketika membantu Spurs mencatat kemenangan selesa ke atas Stoke di Stadium Britannia.
Sehubungan itu, Hughes mengakui berasa sangat kagum menyaksikan prestasi Spurs yang kini hanya dipisahkan lima mata berbanding Leicester selaku skuad peneraju kedudukan saingan liga musim ini.
“Saya amat kagum dengan Tottenham. Semasa kami menentang mereka pada awal musim ini, prestasi mereka tidaklah sebaik ini. Anda pasti tidak berani bertaruh atas Tottenham yang mampu memintas kedudukan Leicester berdasarkan tahap prestasi mereka pada ketika ini,” kata Hughes.
Hughes secara berterus terang turut mengakui Stoke tidak mampu menewaskan Totthenham meskipun telah mencuba sehabis daya untuk memberi cabaran sengit.
“Kami berjaya bertahan tetapi terlalu sukar untuk kekal bermain secara teknikal sebagai satu pasukan. Kami perlu bangkit kerana bakal menentang Manchester City, ia pasti sukar,” katanya.
Stoke kini berada di tangga kesembilan liga dengan mengumpul 47 mata dan bakal menentang Manchester City, Sunderland, Crystal Palace dan West Ham menjelang baki empat perlawanan terakhir. – Agensi
No comments:
Post a Comment