LONDON – Pengurus sementara Chelsea, Guus Hiddink (gambar) mengakui beberapa bintang kelab tersebut sudah mula mengambil mudah saingan Liga Perdana England berikutan tumpuan mereka mula beralih pada kejohanan Euro yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Juara bertahan itu mengalami dua kekalahan berturut-turut selepas tewas 0-3 kepada Manchester City, Sabtu lalu.
Ia merupakan kekalahan ke-16 Chelsea dalam semua pertandingan sepanjang musim ini.
Pasukan itu kini terperosok ke tangga ke-10 liga dengan masih memerlukan enam mata lagi untuk menyamai pencapaian terburuk mereka sepanjang beraksi dalam kempen Liga Perdana England iaitu 50 mata.
Hiddink percaya dengan saingan liga bakal berakhir tidak lama lagi dan tiada sasaran realistik untuk digapai, beberapa pemainnya mula bermain secara selamat bagi mengelakkan kecederaan sebagai persediaan aksi Euro di Perancis.
“Sebahagian (dakwaan) benar tetapi saya tidak boleh menyalahkan mereka kerana mempunyai pemikiran seperti itu. Beberapa pemain mungkin berfikir demikian tetapi saya tidak boleh membaca fikiran mereka. Mungkin mereka sedang memikirkan Euro.
“Apabila tiada apa-apa lagi untuk dipertaruhkan, sudah pasti ada segelintir pemain kekurangan semangat untuk bermain bersungguh-sungguh,” ujar pengendali kelahiran Belanda itu.
Begitupun, Chelsea masih boleh memainkan peranan penting dalam perebutan takhta liga pada musim ini dengan bakal menentang Tottenham Spurs dan pendahulu liga, Leicester City di gelanggang sendiri. – Agensi
No comments:
Post a Comment