Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA LUMPUR – Ketua ajaran sesat ‘Tuhan Harun’, Harun Mat Saat, 50, dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan menerima deposit berjumlah RM35 juta secara haram pada 10 tahun lalu.
Hakim Norsharidah Awang memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menyangkal kes prima facie yang dikemukakan pihak pendakwaan.
Beliau memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama dua tahun bagi pertuduhan pertama dan masing-masing tiga tahun, empat tahun dan enam tahun untuk pertuduhan kedua, ketiga dan keempat.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan kesemua hukuman penjara berkenaan berjalan serentak mulai semalam yang bermakna Harun hanya perlu menjalani hukuman penjara selama enam tahun sahaja.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Shukri Ahmad Mansor manakala peguam bela, Hermesmediaputra Ibrahim pula mewakili Harun.
Berdasarkan keempat-empat pertuduhan, Harun didakwa membantu Business Time Dina Sdn. Bhd., Pan Phoenix Dina Sdn. Bhd. dan Pan-Phoenix Dina Steel Sdn. Bhd. menerima deposit berjumlah RM35 juta daripada syarikat dan orang awam tanpa lesen sah.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Wisma MPL dan Wisma Goldhill, Jalan Raja Chulan di sini dari 13 September 2006 hingga 8 April 2008.
Harun didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dia hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda ekoran lumpuh dan tidak boleh bercakap serta penglihatan terjejas setelah diserang angin ahmar pada November 2013.
Harun yang turut menghadapi pertuduhan membunuh Ketua Penolong Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang, Ahmad Raffli Abd. Malek pada 10 November 2013 bersama lima pengikut ajarannya kini ditahan di Penjara Penor, Kuantan, Pahang setelah Mahkamah Majistret Kuantan tidak dibenarkan kesemua tertuduh diikat jamin pada 16 Februari 2013.
Kes berhubung pertuduhan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori itu kini sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuantan.
Tertuduh juga berhadapan dengan satu pertuduhan menyebarkan ajaran sesat dan 10 pertuduhan menghina agama Islam dengan mengaku sebagai Tuhan masing-masing di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah Syariah di Kuantan.
No comments:
Post a Comment