KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini yang mendengar perbicaraan kes pembunuhan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Datuk Anthony Kevin Morais semalam tegang seketika apabila saksi pertama pendakwaan naik angin dengan soalan-soalan berunsur provokasi yang diajukan barisan peguam bela yang mewakili tujuh tertuduh.
Datuk Richard Morais yang juga adik bongsu Kevin kelihatan tidak berpuas hati apabila ditanya oleh peguam bela, M. Mahoharan yang mewakili tertuduh ketiga, R. Dinishwaran, 23, tentang dakwaan sama ada dia pernah menjadi saksi kes pembunuhan pengasas AmBank, Hussein Ahmad Najadi dan penglibatan abang sulungnya dalam kes pendakwaan penyelewengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Bhd., Datuk Seri Ahmad Zubair @ Ahmad Zubir Murshid.
“Tidak, saya tidak terlibat (sebagai saksi kes bunuh Hussein). Saya hanya tahu kes-kes lain itu menerusi pembacaan akhbar.
“Kenapa tanya soalan-soalan yang tidak kena-mengena dengan kes (pembunuhan Kevin)?” balas Richard ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah pada hari pertama perbicaraan kes tujuh lelaki termasuk seorang doktor tentera berpangkat Kolonel, Dr. R. Kunaseegaran yang didakwa membunuh Kevin di Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Sebelum itu, seorang lagi peguam bela, N. Sivanathan yang mewakili Kunaseegaran turut bertanya kepada Richard sama ada dia mengetahui Kevin turut terlibat dalam penyiasatan isu 1Malaysia Developmemt Bhd. (1MDB).
Jawapan balas Richard terhadap soalan-soalan terbabit dan luahan marahnya terhadap tertuduh pertama, Kunaseegaran, yang berada di kandang pesalah hampir menyebabkan dia dan barisan peguam bela tertuduh bertikam lidah.
Ketegangan itu memaksa Azman yang mendengar kes tersebut masuk campur dengan menenangkan kedua-dua pihak.
“Peguam bela harus faham saksi pendakwaan merupakan adik kepada si mati (Kevin) dan emosinya lebih sedikit.
“Dia juga tidak biasa dengan prosiding mahkamah, jadi terima sahaja apa keterangannya.
“Saksi pendakwaan pula (Richard), awak hanya berkata ‘Ya’ sekiranya bersetuju dengan soalan peguam bela atau ‘Tidak’ jika sebaliknya,” kata Azman.
No comments:
Post a Comment