MANCHESTER – Pengendali Manchester United, Louis van Gaal (LvG) berkata, kelabnya perlu memenangi kesemua empat baki perlawanan sebagai syarat untuk menamatkan saingan Liga Perdana England (EPL) musim ini di kelompok empat pasukan teratas.
Kemenangan bergaya 2-0 ke atas Crystal Palace awal pagi semalam telah meningkatkan tekanan terhadap Arsenal dan Manchester City dalam perebutan tempat keempat liga.
Gol sendiri Damien Delaney pada awal permainan dan jaringan permain pertahanan, Matteo Darmian telah mengurangkan jurang dengan Arsenal yang berada di tangga keempat kepada hanya satu mata.
Pada masa sama, kelab yang mendapat jolokan The Red Devils tersebut cuma ketinggalan dua mata di belakang Machester City yang berada di tangga ketiga.
“Kami sentiasa memberi tekanan kepada kedua-dua kelab terbabit sepanjang musim ini dan ia semakin memuncak menjelang penghujung musim ini. Saya amat gembira, masih ada empat perlawanan lagi dan kami perlu menang kesemuanya, barulah kami mempunyai peluang (tangga keempat teratas),” ujar LvG ketika ditanya sama ada kelab kendaliannya telah memberi tekanan kepada Arsenal dan Manchester City.
Pada perlawanan tersebut, United dilihat berjaya menguasai perlawanan selain mencipta 10 percubaan tepat ke pintu gol sehingga memaksa penjaga gol Crystal Palace, Julian Speroni sibuk mempertahankan gawangnya.
Sebelum ini, kelab kendalian LvG itu sering dikritik sepanjang musim ini kerana bermain secara konservatif dengan rentak yang perlahan, namun pengurus kelahiran Belanda itu bertegas anak-anak buahnya telah bermain secara menyerang bagi setiap perlawanan.
“Saya sentiasa menerapkan strategi menyerang. Pada musim ini, kami telah bermain secara menyerang dalam setiap perlawanan tetapi mungkin sekali- sekala ia berada dalam rentak yang perlahan.
“Kebanyakan pasukan lawan kami juga bertahan dengan baik. Bukan mudah untuk mengucar-ngacirkan mereka tetapi pada perlawanan ini, kami telah berjaya,” katanya. – Agensi
No comments:
Post a Comment