KUALA LUMPUR – Dua wanita dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen berasingan di sini semalam atas empat pertuduhan melacurkan perempuan warga asing pada pertengahan bulan ini.
Shen Nanfang yang merupakan warga negara China membuat pengakuan tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Nasir Nordin manakala Vera, 32, dari Indonesia juga memohon untuk dibicarakan atas empat pertuduhan sama yang telah dibacakan di hadapan Hakim Sohaini Alias.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Najwa Bistamam. Nanfang yang mempunyai suami warga tempatan pula diwakili peguam bela, Vincent Chu makanala Vera tidak mempunyai peguam bela.
Berdasarkan pertuduhan, mereka masing-masing didakwa memperdagangkan Soot, 26, dari Myanmar; Miss Duong Prasan, 21 (Thailand) dan Hanny, 25, serta Elisa, 20, dari Indonesia untuk tujuan eksploitasi seks di 6-2A Blok 3, Jalan Metro Perdana Timur 2, Taman Usahawan Kepong di sini pada pukul 2.15 pagi, 13 Mac lalu.
Nanfang dan Vera didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 15 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Kes disebut semula 13 April depan.
No comments:
Post a Comment