Translate

Friday, April 1, 2016

Shahnaz kena tunggu duit RM30j

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Hasrat Shahnaz Majid, 53, yang merupakan kakak penyanyi jazz terkenal, Datuk Sheila Majid, untuk menikmati bayaran mutaah RM30 juta hari ini tertunda selepas Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam membenarkan permohonan bekas suaminya bagi menangguhkan perintah tersebut.
Hakim Syarie Muhamad Abdul Karim Wahab memutuskan demikian selepas mendapati pihak­nya yang turut membuat perintah itu pada 10 Mac lalu mempunyai bidang kuasa berbuat demikian.
Beliau juga berpuas hati de­ngan alasan yang dikemukakan pemohon, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib, 53, yang merupakan ahli perniagaan dan anak kedua Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.
“Selain mahu merayu (perintah mutaah) di peringkat lebih tinggi, pemohon memberitahu, jumlah bayaran mutaah yang diperintahkan sangat besar dan perlu dilunaskan pada masa singkat sehingga beliau bimbang perlu membuat pinjaman bagi menyelesaikannya.
“Pemohon juga bimbang akan mengalami kerugian sekiranya responden (Shahnaz) mem­belanjakan bayaran mutaah itu sebelum keputusan rayuan (oleh Mahkamah Rayuan Syariah) dikeluarkan.
“Mahkamah berpendapat ia adalah munasabah dan perlu dipertimbangkan kerana sukar untuk mendapatkan wang kembali jika ia sudah dibelanjakan,” kata­nya ketika membacakan penghakimannya di sini semalam. 
Sehubungan itu, Muhamad Abdul Karim memberitahu, pe­nangguhan sementara perintah bayaran mutaah terbabit berkuat kuasa sehingga Mahkamah Ra­yuan Syariah membuat keputusan berhubung kes tersebut.
Beliau juga menegur peguam Shahnaz yang gagal menasihati anak guamnya ketika wanita itu memberi kenyataan akhbar mahu mendermakan sebahagian daripada bayaran RM30 juta itu kepada golongan ibu tunggal, anak yatim dan fakir miskin pada 10 Mac lalu.
“Kenyataan responden mahu mendermakan sebahagian bayaran mutaah itu seolah-olah mempersendakan keputusan saya dan subjudis (menghina mahkamah) serta prejudis kepada pemohon,” katanya.
Kosmo! pada 11 Mac lalu me­laporkan Muhamad Abdul Karim memerintahkan Mahmud Abu Bekir agar melunaskan tuntutan mutaah itu secara ansuran iaitu sebanyak tiga kali bayaran pada 31 Mac, 30 Jun dan 30 September depan dengan amaun RM10 juta bagi setiap pembayaran kepada Shahnaz.
Wanita itu diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader.
Berdasarkan penghakimannya, Shahnaz layak menerima tuntutan itu ekoran kesedihan serta keaiban yang dialami wanita berkenaan akibat perceraian yang telah disahkan Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 10 Mac 2011 selain menerima sebahagian besar ke­terangan saksi pendakwaan iaitu seorang akauntan bertauliah yang menganggarkan defendan memiliki aset sebanyak RM1.33 bilion.
Difahamkan, perintah pemberian mutaah RM30 juta itu merupakan yang tertinggi pernah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah di negara ini. 
Mahmud Abu Bekir menerusi peguam syarienya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar telah memfailkan permohonan rayuan terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Rayuan Syariah pada 14 Mac lalu.
Shahnaz dan Mahmud Abu Bekir berkahwin pada 9 Januari 1992 dan dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia 23 tahun.

No comments:

Post a Comment